Usahawan PKS disaran tingkatkan kualiti produk tandingi barangan China

News & Events - By author on Thursday, March 11, 2010 - 00:57

SHAH ALAM 9 Mac - Usahawan yang terlibat dengan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu sentiasa kreatif dan inovatif dalam menghasilkan produk supaya dapat bersaing dengan barangan luar terutama dari China.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, mereka perlu meningkatkan kualiti produk yang dihasilkan dan memberi penekanan terhadap penjenamaan menawan hati pengguna.

Bagi membantu usaha itu, katanya, kementerian melalui pelbagai agensi termasuk SME Bank telah menyediakan geran pembangunan produk, teknologi dan juga pengukuhan jenama.

"Tidak dinafikan China mampu menghasilkan pelbagai jenis barang pada harga murah disebabkan faktor tenaga buruh dan bahan mentah yang murah di negara itu.

"Tetapi kita boleh menandingi mereka dengan menawarkan produk pada harga yang berpatutan tetapi berkualiti agar dapat bersaing bukan sahaja dengan barangan China tetapi dapat menembusi pasaran antarabangsa," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menutup Seminar Permuafakatan Peserta Skim Kilang SME Bank dan Penyampaian Plak Kepada 17 Usahawan Graduan Skim Kilang SME Bank di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi SME Bank, Datuk Gumuri Hussain dan Pengarah Urusannya, Datuk Azmi Abdullah.

Mukhriz memberitahu, kerajaan baru-baru ini meluluskan cadangan untuk merangka Pelan Induk PKS (2011-2020) yang bertujuan meningkatkan peranan golongan usahawan itu dalam Model Ekonomi Baru.

Katanya, PKS memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi negara dan dijangka menyumbang 37 peratus terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini.

Bagaimanapun, katanya, akibat krisis ekonomi global yang dihadapi pada 2008 dan tahun lalu, impak ekonomi yang teruk turut dirasai oleh usahawan PKS.

Katanya, dua pakej Rangsangan Ekonomi berjumlah RM67 bilionyang diperkenalkan telah menunjukkan kesan positif apabila 53 peratus daripada RM15.6 bilion dana yang diperuntukkan kepada PKS telah dimanfaatkan lebih 56,000 PKS pada akhir Disember lalu.

Utusan Malaysia, 10 Mac 2010