Bahasa: Lain-lain

Mengenai Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia

Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corp. Malaysia) adalah sebuah Agensi Penyelaras Pusat di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang bertanggungjawab menggubal dasar dan strategi menyeluruh untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (PKS) serta menyelaras pelaksanaan program pembangunan PKS yang dikendalikan oleh semua Kementerian dan Agensi yang berkaitan. Ia berfungsi sebagai pusat rujukan utama untuk penyelidikan dan penyebaran maklumat berkenaan PKS serta menyediakan khidmat nasihat untuk PKS di Malaysia. SME Corp. Malaysia turut berperanan sebagai Sekretariat kepada Majlis Pembangunan PKS Kebangsaan (MPPK) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Malaysia.

 

 

SME Corp. Malaysia bermula pada 2 Mei 1996 apabila sebuah agensi khusus ditubuhkan di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri bagi memacu pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (PKS) melalui penyediaan kemudahan infrastruktur, bantuan kewangan, khidmat nasihat, akses pasaran dan program sokongan lain. Dikenali sebagai Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (SMIDEC), ianya bertujuan untuk membangunkan PKS Malaysia yang berkeupayaan dan berdaya tahan agar dapat bersaing di pasaran global.

 

Penubuhan Majilis Pembangunan PKS Kebangsaan (MPPK) pada tahun 2004 adalah merupakan permulaan kepada satu lagi tahap dalam pembangunan PKS di Malaysia. Selaku badan penggubal dasar tertinggi, peranan MPPK adalah bagi menggubal strategi untuk pembangunan PKS merentasi semua sektor ekonomi; menyelaras program PKS yang dilaksanakan Kementerian dan Agensi yang berkaitan; menggalakkan perkongsian dengan sektor swasta; dan memastikan pelaksanaan keseluruhan program pembangunan PKS yang berkesan di negara ini. Inisiatif di bawah MPPK termasuk meningkatkan akses kepada pembiayaan; penstrukturan semula kewangan; penyelarasan khidmat nasihat, maklumat, latihan dan pemasaran; dan sebagai pangkalan data PKS yang menyeluruh bagi memantau kemajuan PKS dalam semua sektor ekonomi.

 

Pada tahun 2007, MPPK telah melantik sebuah agensi khusus bagi menggubal dasar dan strategi menyeluruh untuk PKS serta menyelaras program yang disediakan oleh semua Kementerian dan Agensi yang berkaitan. SMIDEC telah dipertanggungjawabkan untuk peranan tersebut dan ianya telah dijenamakan semula secara rasmi sebagai Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corp. Malaysia) pada 2 Oktober 2009.SME Corp. Malaysia kini adalah pusat rujukan utama bagi khidmat nasihat dan maklumat untuk semua PKS di Malaysia.

 

Pada hari ini, SME Corp. Malaysia adalah organisasi utama menerajui pembangunan PKS yang progresif bagi meningkatkan kemakmuran dan kesejahteraan negara. Dalam memenuhi matlamatnya untuk menggalakkan pembangunan PKS yang berdaya saing, berinovasi serta berdaya tahan melalui penyelarasan dan penyediaan khidmat sokongan perniagaan yang berkesan, SME Corp. Malaysia berusaha untuk memperkasakan PKS dengan proses yang berkesan, model perniagaan yang kukuh, akses kepada sumber kewangan, perkongsian pintar, strategi memasuki pasaran dan penyelesaian pertumbuhan yang mampan, melalui pelbagai platform dan program untuk pembangunan PKS.

 

SME Corp. Malaysia menyediakan khidmat nasihat perniagaan dan maklumat untuk PKS di Malaysia menerusi Hab PKS dan sebelas Pejabat Negeri di seluruh negara. SME Corp. Malaysia turut melaksanakan pelbagai program dan inisiatif di bawah kendaliannya sendiri termasuk program tahunan  seperti Pameran Tahunan PKS (SMIDEX), Anugerah Enterpris 50 (E50) dan Minggu PKS.

 

Selaku Agensi Penyelaras Pusat bagi pembangunan menyeluruh PKS di Malaysia sejak tahun 2009, SME Corp. Malaysia menyelaras, memperkemas, memantau dan menilai kemajuan dan keberkesanan program pembangunan PKS yang dilaksanakan oleh 15 Kementerian dan 65 Agensi. Maklumat yang dikumpul daripada Kementerian dan Agensi yang berkaitan diterbitkan dalam laporan tahunan yang dikenali sebagai Pelan Tindakan Bersepadu PKS (SMEIPA). Laporan ini telah diperkenalkan pada mulanya sebagai Rangka Tindakan Pembangunan PKS (2006-2008) sebelum SME Corp. Malaysia dilantik sebagai Agensi Penyelaras Pusat.

 

SME Corp. Malaysia adalah agensi memacu pelaksanaan Pelan Induk PKS (2012-2020) yang melakar hala tuju dasar pembangunan PKS sehingga tahun 2020. Matlamat Pelan Induk ini adalah untuk mempercepatkan pertumbuhan PKS melalui strategi yang dipacu oleh inovasi dan produktiviti bagi membantu Malaysia mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

SME Corp. Malaysia menjalinkan kerjasama dan perkongsian bersama persatuan industri dan rakan strategik dari kedua-dua sektor awam dan sektor swasta bagi memperkukuhkan kerjasama dalam sektor dan industri khusus demi menyokong dan menggalakkan pembangunan PKS di Malaysia.

HUBUNGI KAMI

Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia
Tingkat 6, SME 1, Blok B 
Platinum Sentral
Jalan Stesen Sentral 2 
Kuala Lumpur Sentral
50470 Kuala Lumpur.

Talian Info: 1-300-30-6000
Talian Faks: 03-2775 6001

Emel: info[at]smecorp[dot]gov[dot]my

 

Borang Maklumbalas

PAUTAN AGENSI

miti icon MIDA matrade edit 1
MPC edit MIDF edit SME Bank edit
hdc edit1 MSI edit Mai edit
malaysiagovicon    

 

 

 

MENGENAI KAMI
POLISI
PROGRAM
INISIATIF
PANDUAN
SUMBER
HUBUNGI KAMI